Aktiviti Darussyifa’

Darussyifa’ diuruskan oleh Persatuan Perubatan, Pengubatan & Kebajikan Islam Malaysia (Sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia). Persatuan ini mempunyai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan aktiviti Darussyifa’. Di antara aktiviti utama Darussyifa’ adalah seperti berikut:

  • 1. Pusat Rawatan Rawatan Darussyifa’
  • 2. Kuliah Agama:
  • 2.i. Kuliah Pengubatan Islam
  • 2.ii. Kuliah Tajwid
  • 2.iii. Kuliah Feqah
  • 3. Majlis Zikir-Pelajar & Ahli
  • 4. Majlis Zikir-Terbuka
  • 5. Dakwah kepada bukan Islam
  • 6. Dakwah kepada Orang-orang Islam
  • 7. Pengambilan Pelajar Baru

 

1. PUSAT RAWATAN DARUSSYIFA’

Pusat Rawatan Darussyifa’ ialah tempat rawatan yang dikunjungi oleh masyarakat yang memerlukan bantuan dalam mencari kesembuhan penyakit. Pusat Rawatan Utama Darussyifa’ terletak di Bandar Baru Bangi iaitu beralamat di No 5 Jln 1/7D, Bandar Baru Bangi, Selangor. Selain dari Bangi, Pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa’ boleh dikunjungi dilokasi-lokasi lain seperti di Kampung Baru (Kuala Lumpur), Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan tempat-tempat lain, (Klik sini utk senarai Pusat Rawatan Darussyifa’ seluruh Malaysia)

Berbagai jenis rawatan yang berikan, (sila lihat Jenis Rawatan). Segala khidmat masyarakat dan rawatan yang diberikan oleh Darussyifa’ ini adalah secara PERCUMA. Untuk tujuan rawatan, pesakit hanya perlu membawa air atau bahan-bahan tertentu mengikut keperluan seperti diminta oleh perawat. Bagi Pusat Rawatan Utama Darussyifa’ di Bandar Baru Bangi, waktu rawatan dibuka setiap hari (Klik sini utk Sesi Rawatan). Bagaimanapun sepanjang bulan Ramadan pusat rawatan hanya beroperasi pada waktu tertentu sahaja, dan pengunjung dinasihatkan merujuk kepada pusat-pusat rawatan kecil yang ingin dikunjungi.

Selain daripada menerima kunjungan masyarakat ke Pusat Rawatan Darussyifa’, Perawat-perawat Darussyifa’ juga turut hadir ke rumah pesakit yang berhajat, bergantung kepada keperluan dan juga kelapangan Perawat. Untuk merawat tempat yang bermasalah (mungkin seperti ada gangguan makhluk halus) seperti di rumah kediaman, pejabat, sekolah dan kilang, biasanya perawat-perawat akan datang merawat secara berkumpulan iaitu di antara 20 hingga 40 orang.

 

Untuk mendapatkan rawatan memulihkan tempat yang bermasalah, pihak yang berhajat dinasihatkan supaya menulis dan menghantar surat permohonan kepada Pengerusi Darussyifa’.

 

2. KULIAH AGAMA

Darussyifa’ turut menganjurkan kuliah agama. Kuliah agama yang dianjurkan seperti berikut;

i.Kuliah Pengubatan Islam,

ii.Kuliah Tajwid dan

iii. Kuliah Feqah.

Kuliah Pengubatan dan Kuliah Tajwid adalah hanya untuk mereka yang telah mendaftarkan diri sebagai Pelajar Pengubatan sahaja, manakala Kuliah Feqah adalah umum untuk orang ramai.

 2.i. KULIAH PENGUBATAN ISLAM

Kuliah Pengubatan Islam diadakan pada hari Isnin setiap minggu selepas selesai Majlis Zikir. Kuliah ini diadakan di tingkat satu Bangunan Darussyifa Bandar Baru Bangi. Sebelum ini, kuliah-kuliah disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Walau bagaimanapun selepas ketiadaan beliau, kuliah-kuliah akan disampaikan oleh tenaga-tenaga pengajar yang telah ditauliahkan. Manakala bagi tajuk-tajuk rawatan tertentu, ianya di sampaikan oleh tenaga pengajar yang berkelayakan, antaranya seperti rawatan simtom Santau disampaikan oleh Tn Hj Mokhtar Kasan, anatomi tubuh badan manusia oleh Dr. Azlin, Rawatan & Kaunseling oleh Tn Hj Pakarulrazy dan lain-lain.

Untuk menghadiri Kuliah ini perlulah mendaftarkan diri sebagai pelajar terlebih dahulu. Sila lihat Permohonan Menjadi Ahli.

2.ii. KULIAH TAJWID 

Kuliah Tajwid diadakan dua minggu sekali iaitu pada hari Sabtu minggu pertama dan ketiga dalam setiap bulan. Kuliah ini bermula dari jam 9:00 pagi hingga 12:00 tengahari. Kuliah ini juga diadakan di tingkat satu Bangunan Darussyifa Bandar Baru Bangi. Kuliah disampaikan oleh Guru-guru tajwid yang berkelayakan. Kuliah ini memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar yang baru menyertai Kuliah Pengubatan Islam. Kuliah ini diwajibkan kepada mereka yang mendapat markah yang rendah dalam temuduga. Tujuannya ialah untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bacaan-bacaan asas doa rawatan, terutamanya yang melibatkan ayat-ayat suci al-Quran.

2.iii. KULIAH FEQAH ANJURAN DARUSSYIFA’ (Terbuka untuk Masyarakat Umum)

  

(Klik imej untuk poster besar)

Kuliah Feqah ini adalah umum untuk semua yang diadakan dua kali dalam sebulan iaitu pada hari Khamis minggu pertama dan ketiga dalam setiap bulan. Kuliah ini bermula selepas Solat Maghrib berjamaah. Kuliah ini diadakan di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi. Kuliah Feqah yang sebelum ini disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Datu’ Dr. Haron Din, kini ia digantikan oleh Sohibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Muhammad Albakri iaitu Mufti Wilayah Persekutuan dan juga Dato’ Rashidi Abdul Jamil iaitu timbalannya. Kuliah biasanya berlangsung selama 2 jam. Selain itu Kuliah Dhuha juga turut  diadakan secara talaqqi berkitab pada hari Sabtu Minggu ke-4 dari jam 9.30 pagi hingga 11.00 pagi di Dewan Kuliah Tingkat Atas, Bangunan Darussyifa’, Bandar Baru Bangi. Kehadiran adalah terbuka kepada masyarakat umum, Muslimin Muslimat SEMUA dijemput hadir.

 

3. MAJLIS ZIKIR MINGGUAN (Pelajar & Ahli sahaja)

Majlis Zikir diadakan pada setiap minggu iaitu pada hari Isnin bermula dengan solat Maghrib berjamaah. Majlis Zikir ini diadakan di tingkat satu Bangunan Darussyifa’  Bandar Baru Bangi. Majlis Zikir sebelum ini dipimpin sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Selepas ketiadaan beliau, Majlis Zikir mingguan ini dipimpin oleh barisan tenaga pengajar yang telah ditauliahkan. Pelajar-pelajar yang baru menyertai Darussyifa’ dan belum diijazahkan adalah wajib untuk menghadiri Majlis Zikir ini. Pelajar-pelajar senior juga digalakkan untuk menghadiri Majlis Zikir ini untuk memantapkan lagi pertahanan diri dan kekuatan rohani.

4. MAJLIS ZIKIR TERBUKA (Untuk Masyarakat Umum)

Bagi menggalakkan masyarkat mempertingkatkan amalan dan berzikir, Darussyifa’ turut menganjurkan Majlis Zikir terbuka yang boleh dihadiri oleh orang awam dan juga pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di mana-mana pusat rawatan Darusyifa. Majlis Zikir ini diadakan pada setiap hari Khamis minggu ke-2 sahaja.

 

5. DAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM

Darussyifa’ juga mempunyai aktiviti yang penting iaitu berdakwah kepada orang-orang bukan Islam dan membantu serta membimbing orang-orang yang baru memeluk Islam (mualaf). Aktiviti ini diuruskan dibawah unit khas yang dinamakan Unit Dakwah. Unit ini terletak di bawah Perlembagaan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam. Ia ditubuhkan pada 20hb Mei 2003. Tujuan unit ini ditubuhkan ialah untuk memelihara kebajikan orang yang baru memeluk agama Islam. Pada ketika ini, unit ini diketuai oleh seorang pendakwah iaitu Tuan Haji Ahmad Fitri Abdullah dan dibantu oleh isterinya Hajah Nazrin Mohamad Basha. Beliau mengetuai unit ini dengan gelaran Pengarah Dakwah.

Selain itu, bangunan untuk Unit Dakwah juga dikendalikan bagi menempatkan pejabat, rumah persinggahan bagi mualaf dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Sumber kewangan buat masa ini diperolehi melalui sumbangan ahli korporat dan orang ramai. Pendakwah-pendakwah yang dilantik juga membantu Pengarah unit ini untuk memberi kursus kepada para mualaf yang ditempatkan di Pusat Dakwah atau tempat-tempat lain.

 

6. DAKWAH KEPADA ORANG-ORANG ISLAM

Selain daripada yang disebut sebelum ini, diantara bentuk aktiviti Darussyifa’ ialah menyampaikan dakwah kepada orang ramai. Sebagai contoh, pesakit yang datang dengan tidak menutup aurat yang sempurna diminta untuk berbuat demikian terutama semasa sesi rawatan. Malah pihak pentadbiran turut menyediakan pakaian khas untuk memudahkan mereka menutup aurat. Terbukti cara ini berkesan kerana ada sesetengah pesakit berpakaian lebih sopan apabila datang mendapatkan rawatan untuk kali kedua.

Darussyifa’ juga mengajak orang ramai supaya mendekatkan diri dengan Allah. Mereka yang sakit diminta sentiasa bermunajat dan melakukan solat hajat atau solat malam untuk memohon kepada Allah agar menyembuhkan penyakit yang dihidapi. Secara tidak langsung ini merupakan satu didikan kepada orang ramai dalam mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t. Mereka juga dapat menyedari kelemahan manusia bahawa keangkuhan mereka yang terlibat dalam bidang perubatan tidak mendatangkan manfaat.

 

7. PENGAMBILAN PELAJAR BARU

Darussyifa’ juga menjalankan aktiviti pengambilan pelajar baru yang ingin belajar ilmu pengubatan Islam. Pengambilan pelajar baru diadakan pada setiap tahun. Permohonan boleh dikemukakan dengan mengisi borang yang disediakan. Borang tersebut boleh didapati di pejabat Darussyifa’. Borang permohonan biasanya dikeluarkan pada bulan November dan tarikh tutup permohonan pada pertengahan bulan Disember. Biasanya jawatan kuasa khas ditubuhkan untuk mengendalikan pengambilan pelajar baru. Mereka ditugaskan untuk menapis semua permohonan dan menemuduga.

Tujuan mereka ditemuduga ialah untuk memastikan setiap orang yang ingin menyertai Kuliah Pengubatan mempunyai asas tentang bacaan al-Quran. Temuduga tersebut biasanya diadakan sebulan selepas tarikh tutup permohonan. Tahap umur untuk belajar di Darussyifa’ adalah bergantung kepada keputusan jawatankuasa dan kebiasaannya adalah 18 tahun ke atas. Berdasarkan kemampuan kapasiti fasiliti semasa, dalam satu-satu sesi jumlah pelajar baru yang diambil adalah sekitar 500 orang.

4 Comments

    1. Boleh, sebarang makluman berkenaan pengambilan pelajar baru akan diumumkan di laman web ini. Sentiasa layari laman ini bagi mendapatkan info semasa. Sekian, terima kasih.

  1. Assalamualaikum..n slm ukhwah pd semua..mohon ambo brtanya..adakah dkalangan pgubat ( wkil pgubat ) darulsifa yg memulihkn pgar rumah scara buang guna bas lg..

    1. Wa’alaikumussalam w.b.t, pihak Darussyifa’ memang ada menjalankan aktiviti rawatan premis. Sebarang permohonan rawatan premis hendaklah diajukan kepada Cawangan Darussyifa yang berhampiran melalui surat rasmi atau email. Bagi pertanyaan “buang guna bas”, Darussyifa’ tidak pernah sama sekali melakukan perkara sedemikian. Sila rujuk video Kenyataan Almarhum Tuan Guru Dato Dr. Haron Din di sebelah kanan atas website ini atau layari link berikut. https://www.youtube.com/watch?v=sZ4Qo95S_ms

Ulasan Pengunjung

Your email address will not be published. Required fields are marked *