NASIHAT PENGERUSI DARUSSYIFA'
Ini adalah intipati daripada ucapan Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Pengerusi
Darussyifa' pada majlis Pengijazahan Pelajar Pengubatan Islam Darussyifa'
kumpulan ke-17.
1. Ada dikalangan kita hanya suka mengumpul sijil dan
sijil tersebut di gantung di dinding tetapi tidak berkhidmat. Ada pula
yang tak pedulikan sijil tersebut tetapi menyumbangkan masa dan tenaga
untuk berkhidmat dengan suka rela, inilah yang Darussyifa' inginkan iaitu
berkhidmat bersama-sama dengan Darussyifa'.
2. Ingatlah bahawa tujuan utama kita menyertai kuliah
pengubatan dan menerima ilmu dan ijazah daripada Tuan Guru adalah kerana
mencari keredhaan Allah dan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
3. Permintaan keatas rawatan alternatif seperti yang
dilakukan oleh Darussyifa' semakin hari semakin bertambah, kemana sahaja
kita pergi mereka mengharapkan bantuan daripada kita. Oleh itu semua pelajar
yang telah diijazahkan diharapkan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat
bersama-sama Darussyifa'.
4. Pelajar-pelajar yang telah diijazahkan yang tinggal
diluar dari kawasan Bangi seperti di Terengganu atau tempat-tempat lain
adalah digalakkan supaya membuat kelompok-kelompok kecil pasukan perawat
dan membuka klinik Darussyifa' supaya dapat membantu masyarakat setempat
yang memerlukan rawatan alternatif.
5. Selain daripada menubuhkan klinik Darussyifa', adalah
dinasihatkan pelajar-pelajar yang telah diijazahkan yang tinggal berjauhan
daripada Bangi, membentuk kumpulan Majlis Zikir yang seperti diamalkan
di Bangunan Darussyifa' bangi pada setiap hari Isnin selepas Maghrib.
6. Kita sebagai perawat biasanya akan dicuba terlebih
dahulu, kadang-kadang tersalah bagi ubat. Justeru itu kita hendaklah bersedia
dan memantapkan diri supaya dapat memberi rawatan dengan sempurna. Janganlah
berlaku pesakit datang dengan satu penyakit tetapi balik dengan dua penyakit.
7. Pesakit memandang tinggi kepada perawat, tiba-tiba
ketika sedang merawat telepon Perawat berbunyi lalu dijawabnya telepon
itu. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bayangkanlah perasaan
pesakit yang sebahagiannya datang dari jauh dan mengeluarkan perbelanjaan
yang banyak untuk tambang atau minyak kereta tiba-tiba perawat tidak memberikan
tumpuan ketika merawat.
8. Terdapat Klinik-klinik Darussyifa' yang telah dibuka
dimerata tempat dan mungkin ada yang dekat dengan tempat saudara, oleh
itu dinasihatkan supaya anda menyertai mereka dan memberikan bantuan kepada
klinik-klinik tersebut.
9. Jangan gunakan Sijil Darussyifa' itu sebagai satu
tarikan untuk mendapatkan keuntungan. Jangan dikomersilkan, ingat perinsip
Darussyifa' iaitu jangan menetapkan bayaran, jangan meminta bayaran sebelum
dan selepas merawat.
|