|
Pengalaman Makan Itik Nila di Mesir (Dipetik daripada
Akhbar Harakah keluaran 1-15April 2006)

USTAZ HARON DIN sudah tidak asing lagi. Ketokohan beliau begitu
dikagumi masyarakat Islam di negara ini Walaupun beliau dianugerah gelaran Dato',
walaupun mempunyai ijazah phD dalam jurusan syariah, beliau lebih gemar dipanggil
Ustaz.
Jasa beliau selama 23 tahun di UKM begitu dikagumi, selain terkenal sebagai
pengasas perubatan Islam Darul Syifa'. Ikuti sembang santai Timbalan Mursyidul
Am PAS ini bersama Mohd Rashidi Hassan di rumah beliau di Bangi, baru-baru ini.
Sedikit latarbelakang keluarga Ustaz?
Saya lahir pada tahun 1940, ada 10 adik beradik. Al-marhum ayah saya Haji Din
bin Awang berasal dari Patani, merantau ke Perlis. Ayah saya tergolong dari
kalangan orang yang kuat agama. Semua adik beradik kami dihantar mengaji ke
sekolah Arab, sekarang dikenali sebagai SAR.
Kenapa semua mengaji agama?
Ayah saya yakin pendidikan SAR menjamin masa depan. Pada ketika itu ramai anak-anak
jiran dihantar ke sekolah Inggeris. Orang kata senang dapat kerja. Namun keyakinan
ayah saya tidak mengecewakan, alhamdulillah semua anak-anak beliau berjaya seperti
sekarang.
Sebab apa SAR begitu penting bagi ustaz?
SAR menyediakan asas warisan kesinambungan golongan ulama. Dalam sistem pendidikan
sekarang, aliran sastera atau sains tidak mampu melahirkan ulama tulen. Saya
amat percaya ulama harus lahir daripada sistem pendidikan Islam yang tulen seperti
Universiti al-Azhar sebagainya. Ulama sebenar tidak sepatutnya lahir daripada
sistem pendidikan Barat sama ada dari Amerika Syarikat atau United Kingdom.
Mungkin mudah jika ulama itu pandai berbahasa Inggeris?
Ya, bahasa boleh dipelajari. Tetapi mana mungkin ilmu itu akan berkat dan diredai
Allah jika ianya diajar oleh orientalis atau profesor yang tidak beriman, mengkufuri
Islam sendiri. Saya tidak boleh terima ilmu Islam diajarkan oleh orang kafir.
Latar belakang pengajian ustaz?
Saya belajar di Kolej Islam Kelang. Ijazah pertama saya (Sarjana Muda) di bidang
syariah. Kemudian menyambung Master dalam bidang syariah di Universiti al-Azhar,
Mesir. Dalam masa yang sama saya membuat Diploma Pendidikan Islam di Universiti
Ain Syams. Tahun 1966 balik ke Malaysia. Selepas itu dihantar menyambung phD
dalam bidang syariah di Universiti Kaherah, Mesir. Saya mendapat kepujian kelas
pertama.
Sedikit pengalaman belajar di Mesir?
Saya memilih duduk di kampung. Ramai pelajar Melayu suka tinggal di asrama.
Saya tengok susah, terikut budaya Melayu, cakap Melayu, lepak cara Melayu (ketawa),
mana nak fasih bahasa Arab. Bila kita duduk di kampung kita dapat pendedahan.
Saya cari kawan-kawan Arab, ikut mereka ke rumah, bergaul, berbincang dan bertanya
dengan mereka apa sahaja yang saya tidak faham.
Kenangan yang tak dapat dilupakan di Mesir?
Ada. Suatu ketika saya bawa Kak Jah (isteri) ke Mesir, kami pergi ziarah sahabat
lama saya Lutfi Ali Umar di Tanta, satu kawasan pedalaman, memang kampung betul.
Dia nak jamu kami. Lalu dia tangkap itik nila, dia buat sup. Kemudian dia bakar
roti dari bahan bakar tahi lembu yang kering. Bayangkan lah, sup itik nila yang
tidak dilayur sempurna, masih ada bulu-bulu, tak ada rempah bila sup masak,
bulu-bulu itu bertakung, makan dengan roti bau tahi lembu, Kak Jah makan sampai
muntah (ketawa). Bayangkan lah kami terpaksa hidup tiga hari dengan mereka dalam
keadaan macam itu.
Mula bertugas di UKM?
Tahun 1972 sehingga pencen 1995. 23 tahun. 1978 dilantik ke jawatan Profesor
Madya dan 1980 saya diberikan jawatan Profesor oleh UKM. Malah pada tahun 1976
lagi saya dah pegang jawatan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam.
Banyak buku dan kertas kerja ilmiah dihasilkan?
Kertas kerja susah nak kira, sebab di universiti memang banyak bentang kertas
kerja. Semasa saya ditimbang ke jawatan profesor, saya sudah mengarang lebih
30 judul buku, kebanyakannya dalam bidang syariah, termasuk 6 buah buku perubatan
Islam.
Buku pilihan yang ustaz hasilkan?
Buku berjudul Manusia dan Islam. Suatu ketika ia digunapakai sebagai buku rujukan
PDRM (zaman Hanif Omar) dan Telekom, SEDC Johor dan beberapa buah agensi kerajaan.
Ustaz masih pergi memburu?
Tidak lagi. Memburu memerlukan fizikal yang kuat. Saya dah lama tak memburu.
Lagi pun sekarang ni susah dapat lesen. Binatang pun dah tak banyak. Tetapi
saya suka berkhemah di hutan.
Buat apa di hutan?
Berehat, berfikir dan tidak terikat dengan etika masyarakat. Terputus hubungan
dengan dunia. Hand phone pun tak ada line. Selalunya kami pergi 20 orang, empat
atau lima hari. Berkhemah di dalam hutan, tepi sungai atau tepi air terjun.
Selain daripada beribadah, saya akan beri kuliah subuh dan maghrib. Kami memancing,
cari kulat (cendawan), jering, petai dan sebagainya.
Tak diganggu ke dalam hutan?
Biasalah, itu yang seronoknya (ketawa). Ada juga gangguan gajah dan bunyi harimau
mengaum.
Ustaz suka memancing?
Saya suka memancing di laut. Satu pernah ada 3 buah bot. 2 bot lesen A (untuk
nelayan pantai) satu bot lesen c2 (nelayan laut dalam). Biasa kalau saya pergi
sampai dua minggu, tetapi sekarang dah tak sempat. Bagusnya ikut bot laut dalam
ni, saya dapat merasai jerih perit kehidupan nelayan. Terpaksa tinggal keluarga
selama dua minggu, hidup dilambung ombak badai, bahaya sekeliling pinggang,
semata-mata hendak mencari sesuap nasi, tetapi hasil tangkapan tidak menentu.
Masih memancing lagi?
Ya, tapi ingat dah nak pencen dah. Sebab suatu ketika saya memancing ikan di
laut, ikan tak besar mana, dalam 7 kg. Tapi tahu lah, nak kena ada kederat yang
kuat lawan ikan ni, ikan tu tarik kuat, saya force juga, tetapi jantung saya
terhenti. Saya kena attack ketika itu, fizikal saya sudah tidak mengizinkan.
Jadi, dalam perjalanan balik, saya pun berfikir this is the end, saya dah kena
bersara dari alam memancing.
Sudah berhenti memancing?
Tidak juga (ketawa). Sebab dalam beberapa minggu selepas itu, ada seorang sahabat
saya bertanya, "Ustaz tahu tak sekarang ini, boleh memancing guna satu alat
yang ada bateri?". Saya kata saya tak tahu. Akhirnya apabila dapat mesin, saya
pun pergi memancing ke laut. Saya tak payah lawan ikan, mesin yang lawan (ketawa).
Baru-baru ini dapat ikan seberat 12kg. Kekuatan mesin itu boleh tarik ikan seberat
25kg. Jadi niat saya berhenti memancing ditarik balik (ketawa).
Ustaz terlibat dalam bisnes?
Ada. Saya pernah mengusahakan empat reban ayam. Reban di Ulu Yam, Dengkil dan
Banting. Suatu ketika saya menternak sampai 200 ribu ekor ayam. Saya pernah
ada 40 orang pekerja menternak ayam dan 20 orang pekerja bot laut dalam. Sekarang
ini semuanya dah tak sempat nak urus.
Lain-lain aktiviti?
Saya sekarang ini terbabit dalam penternakan lembu dan kambing. Lembu banyak
ekor juga (ketawa). Kambing baru nak mula, saya usahakan di ladang kelapa sawit
saya.
Oh ada ladang juga?
Ya, ladang sawit di Teluk Intan, alhamdulillah sudah matang dan keluarkan hasil.
Saya juga ada tanam 150 ribu pokok jati (thick wood) untuk buat perabut. Saya
tanam pokok sentang, pokok gaharu (untuk buat minyak wangi). Sawah padi pun
ada (ketawa) di Perlis. Saya juga tanam 300 batang pokok dokong di Kodiang,
Kedah.
Sempat ke buat semua itu?
Insya Allah sempat. Saya usahakan dah lama. Saya beritahu ini bukan nak menunjuk.
Tetapi bukan kerja seorang ulama itu mengajar dan berdakwah sahaja, persepsi
masyarakat kena betul sebab belajar agama bukan halangan untuk berniaga, maju
dan berjaya dalam kehidupan, Rasulullah s.a.w buat semua kerja ini, kita mengikut
contoh baginda.
|