| AKTIVITI DARUSSYIFA' Darussyifa' diuruskan
oleh Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia. Persatuan ini
mempunyai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap pengurusan
dan aktiviti Darussyifa'. Diantara aktiviti utama Darussyifa' adalah seperti
berikut;
1. Klinik Rawatan Darussyifa'
2. Kuliah Agama
2.1 Kuliah Pengubatan Islam
2.2 Kuliah Tajwid
2.3 Kuliah Feqah
3.0 Majlis Zikir
4.0 Dakwah kepada bukan Islam
5.0 Dakwah kepada Orang-orang Islam
6.0 Pengambilan Pelajar Baru
1. Klinik Rawatan Darussyifa'
Klinik Darussyifa' ialah tempat rawatan yang dikunjungi oleh masyarakat
yang memerlukan bantuan dalam mencari kesembuhan penyakit. Klinik Utama
Darussyifa' terletak di Bandar Baru Bangi iaitu beralamat di No 5 Jln
1/7D, Bandar Baru Bangi, Selangor. Selain daripada di Bangi, cawangan
Darussyifa juga terdapat ditempat-tempat lain seperti di Kampung Baru
(Kuala Lumpur), Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan tempat-tempat lain,
(sila lihat Klinik dan Cawangan Darussyifa'.)
Berbagai jenis rawatan yang berikan, (sila lihat Jenis
Rawatan). Segala khidmat masyarakat dan rawatan yang diberikan oleh
Darussyifa' ini adalah secara percuma. Untuk tujuan rawatan, pesakit hanya
perlu membawa air atau bahan-bahan tertentu mengikut keperluan seperti
diminta oleh perawat. Klinik rawatan Darussyifa' memberi rawatan setiap
hari (sila lihat Klinik dan Cawangan Darussyifa').
Bagaimanapun sepanjang bulan Ramadan klinik akan ditutup. Walaupun begitu
masih ada perawat yang bertugas secara sukarela dibulan ramadhan untuk
tidak menghampakan pesakit yang datang untuk berubat.
Selain daripada menerima kunjungan masyarakat ke Klinik Darussyifa',
Perawat-perawat Darussyifa' juga sering menghadirkan diri kerumah pesakit
yang berhajat. Keadaan ini bergantung kepada kelapangan Perawat. Untuk
merawat tempat yang bermasalah (mungkin seperti ada gangguan makhluk halus)
seperti dirumah kediaman, pejabat, sekolah dan kilang, biasanya perawat-perawat
akan datang merawat secara berkumpulan iaitu diantara 20 hingga 40 orang.
Untuk mendapatkan rawatan memulihkan tempat yang bermasalah, pihak yang
berhajat dinasihatkan supaya menulis surat kepada pengerusi Darussyifa'
(sila lihat Carta Organisasi Darussyifa')
..ke atas.
2. Kuliah Agama
Darussyifa' turut menganjurkan kuliah agama. Kuliah agama yang dianjurkan
seperti berikut;
i. Kuliah Pengubatan Islam,
ii. Kuliah Tajwid dan
iii. Kuliah Feqah.
Kuliah Pengubatan dan Kuliah Tajwid adalah hanya untuk mereka yang telah
mendaftarkan diri seagai Pelajar Pengubatan sahaja, menakala Kuliah Feqah
adalah umum untuk orang ramai.
..ke atas.
2.1 Kuliah Pengubatan Islam
Kuliah Pengubatan Islam diadakan pada hari Isnin setiap minggu selepas
solat Isyak berjamaah. Kuliah ini diadakan di tingkat satu Bangunan Darussyifa
Bandar Baru Bangi. Kuliah disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Dato' Dr.
Haron Din. Bagaimanapun dalam tajuk-tajuk rawatan tertentu ia di sampaikan
oleh Ustaz yang berkelayakan seperti Rawatan Santau disampaikan oleh Ustaz
Mokhtar Kasan. Untuk menghadiri Kuliah ini perlulah mendaftarkan diri
sebagai pelajar terlebih dahulu. Sila lihat Permohonan Menjadi Ahli.
..ke atas.
2.2 Kuliah Tajwid
Kuliah Tajwid diadakan dua minggu sekali iaitu pada hari Sabtu minggu
pertama dan ketiga dalam setiap bulan. Kuliah ini bermula dari jam 9:00
pagi hingga 12:00 tengahari. Kuliah ini juga diadakan di tingkat satu
Bangunan Darussyifa Bandar Baru Bangi. Kuliah disampaikan oleh Guru-guru
tajwid yang berkelayakan. Kuliah ini memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar
yang baru menyertai Kuliah Pengubatan Islam. Kuliah ini diwajibkan kepada
mereka yang mendapat markah yang rendah dalam temuduga. Tujuannya ialah
untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bacaan-bacaan
asas doa rawatan, terutamanya yang melibatkan ayat-ayat suci al-Quran.
..ke atas.
2.3 Kuliah Feqah
Kuliah Feqah ini adalah umum untuk semua yang diadakan dua kali dalam
sebulan iaitu pada hari Khamis minggu pertama dan ketiga dalam setiap
bulan. Kuliah ini bermula selepas Solat Maghrib berjamaah. Kuliah ini
juga diadakan di tingkat satu Bangunan Darussyifa Bandar Baru Bangi. Kuliah
Feqah disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din. Kuliah biasanya
berlangsung selama 2 jam. Sejam yang pertama disampaikan Kuliah Agama
yang berpandukan daripada kitab-kitab feqah kemudian Tuan Guru akan menjawab
soalan-soalan yang dikemukakan secara lisan atau bertulis. ..ke atas.
3. Majlis Zikir
Majlis Zikir diadakan pada setiap minggu iaitu pada hari Isnin bermula
dengan solat Maghrib berjamaah. Majlis Zikir ini diadakan di tingkat satu
Bangunan Darussyifa Bandar Baru Bangi. Majlis Zikir dipimpin sendiri oleh
Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din. Ketika ketiadaan Tuan Guru ia dipimpin
oleh ustaz yang berkelayakan. Pelajar-pelajar yang baru menyertai Darussyifa'
dan belum diijazahkan adalah wajib untuk menghadiri Majlis Zikir ini.
Pelajar-pelajar senior juga digalakkan untuk menghadiri Majlis Zikir ini
untuk memantapkan lagi pertahanan diri dan kekuatan rohani.
..ke atas.
4. Dakwah kepada bukan Islam
Darussyifa' juga mempunyai aktiviti yang penting iaitu berdakwah kepada
orang-orang bukan Islam dan membantu serta membimbing orang-orang yang
baru memeluk Islam (mualaf). Aktiviti ini diuruskan dibawah unit khas
yang dinamakan Unit Dakwah. Unit ini terletak di bawah Perlembagaan Persatuan
Kebajikan dan Pengubatan Islam. Ia ditubuhkan pada 20hb Mei 2003. Tujuan
unit ini ditubuhkan ialah untuk memelihara kebajikan orang yang baru memeluk
agama Islam. Pada ketika ini, unit ini diketuai oleh seorang pendakwah
iaitu Tuan Haji Ahmad Fitri Abdullah dan dibantu oleh isterinya Hajah
Nazrin Mohamad Basha. Beliau mengetuai unit ini dengan gelaran Pengarah
Dakwah.
Ketika ini (2006), bangunan untuk Unit Dakwah ini sedang di dalam perancangan.
Tanah wakaf Darussyifa' di Mukim Dengkil Daerah Sepang seluas dua ekar
insya'Allah akan dibangunkan untuk membina bangunan bagi menempatkan pejabat, rumah
persinggahan bagi mualaf dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Sumber
kewangan buat masa ini diperolehi melalui sumbangan ahli korporat dan
orangramai. Pendakwah-pendakwah yang dilantik juga membantu pengarah unit
ini memberi kursus kepada para mualaf yang ditempatkan di Pusat Dakwah
atau tempat lain.
..ke atas.
5. Dakwah kepada Orang-orang Islam
Selain daripada yang disebut sebelum ini, diantara bentuk aktiviti Darussyifa'
ialah menyampaikan dakwah kepada orang ramai. Sebagai contoh, pesakit
yang datang dengan tidak menutup aurat yang sempurna diminta untuk berbuat
demikian terutama semasa sesi rawatan. Malah pihak pentadbiran turut menyediakan
pakaian khas untuk memudahkan mereka menutup aurat. Terbukti cara ini
berkesan kerana ada sesetengah pesakit berpakaian lebih sopan apabila
datang berubat kali kedua.
Darussyifa' juga mengajak orang ramai supaya mendekatkan diri dengan
Allah. Mereka yang sakit diminta sentiasa bermunajat dan melakukan solat
hajat atau solat malam untuk memohon kepada Allah agar menyembuhkan penyakit
yang dihidapi. Secara tidak langsung ini merupakan satu didikkan kepada
orang ramai dalam mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t. Mereka juga
dapat menyedari kelemahan manusia bahawa keangkuhan mereka yang terlibat
dalam bidang perubatan tidak mendatangkan manfaat.
..ke atas.
6. Pengambilan Pelajar Baru
Darussyifa' juga menjalankan aktiviti pengambilan pelajar baru yang ingin
belajar ilmu pengubatan Islam. Pengambilan pelajar baru diadakan pada
setiap tahun. Permohonan boleh dikemukakan dengan mengisi borang yang
disediakan. Borang tersebut boleh didapati di pejabat Darussyifa'. Borang
permohonan biasanya dikeluarkan pada bulan November dan tarikh tutup permohonan
pada pertengahan bulan Disember. Biasanya jawatan kuasa khas ditubuhkan
untuk mengendalikan pengambilan pelajar baru. Mereka ditugaskan untuk
menapis semua permohonan dan menemuduga. Tujuan mereka ditemuduga ialah
untuk memastikan setiap orang yang ingin menyertai Kuliah Pengubatan mempunyai
asas tentang bacaan al-Quran. Temuduga tersebut biasanya diadakan sebulan
selepas tarikh tutup permohonan. Semua permohonan perlu disokong oleh
seorang ahli lama. Tahap umur untuk belajar di Darussyifa' adalah bergantung
kepada keputusan jawatankuasa biasanya 18 tahun keatas. Dalam satu-satu
sesi jumlah pelajar baru yang diambil adalah diantara 100 hingga 220 orang ..ke atas. |