Pameran Hantu : Saya ragui kesahihannya - Haron Din
Oleh Azamin Amin
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) -
Pameran 'Misteri, Jin, Hantu Keranda dan...' di Muzium Sultan Alam Shah, Shah
Alam yang berlangsung baru-baru ini mendapat liputan pelbagai akhbar dan reaksi
'hangat' orang ramai kerana 'hantu-hantu' yang dipamerkan didakwa sebagai asli
dan bukannya replika.
Malah, dilaporkan bahawa
hantu-hantu tersebut seperti Langsuir yang dipamerkan dikatakan masih bernyawa
kerana rambutnya semakin panjang, Toyol dikatakan boleh hidup semula jika
dipuja manakala bagi sesiapa yang bernasib baik akan 'bertemu' pocong dalam
waktu-waktu tertentu.
Namun dakwaan ini telah disanggah
oleh Timbalan Mursyidul Am PAS dan pengamal perubatan alternatif Islam
terkenal, Dato' Dr Haron Din, bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah, bahawa
makhluk halus ini boleh ditangkap dalam bentuk rupa asal mereka.
Katanya,
hantu seperti pocong, langsuir, toyol adalah jenis makhluk halus mengikut
kepercayaan orang melayu dan dalam al-Quran makhluk halus ini disebut sebagai
Jin, Syaitan, Iblis dan Ifrit.
"Saya ragui kesahihannya
kerana ia berlawanan dengan ayat al-Quran tentang makhluk halus," katanya
ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau berkata, dalam sepotong
ayat al-Quran menyatakan,"sesungguhnya mereka (mahkluk halus) boleh
melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka."
Namun demikian, katanya Allah
mengizinkan makhluk halus menyerupai rupa bentuk seperti ular hitam yang
menakutkan, bayang-bayang, angin ribut dan sebagainya.
"Yang saya tahu, makhluk
halus boleh dilihat dengan rupa bentuk yang lain tetapi bukan dalam bentuk asal
mereka,"katanya.
Beliau mengisahkan pernah berlaku,
ada iblis yang menganggu Rasulullah s.a.w. ketika solat lalu Rasulullah s.a.w.
menangkapnya dan terlintas nabi untuk menambat makhluk tersebut di salah satu
tiang masjid, sehingga dapat dilihat dan dipermainkan oleh kanak-kanak Madinah.
Namun niat
itu dibatalkan kerana katanya, Rasulullah teringat kepada sepotong ayat
Al-Quran, yang merujuk kepada Nabi Sulaiman a.s. yang telah pun memohon kepada
Allah untuk memberinya kuasa luar biasa dan kuasa memiliki semua jenis makhluk
halus, angin dan awan yang tidak boleh ditiru atau dimiliki oleh mana-mana manusia selepasnya dan
sehingga ini, tidak ada satu riwayat daripada para sahabat yang pernah melihat
melihatkan mahkluk halus yang ditangkap oleh Rasulullah itu.
Katanya, dalam Perang Badar, ada
juga kumpulan iblis menyerupai rupa bentuk manusia untuk membantu tentera
musuh, yang akhirnya cabut lari setelah berhadapan dengan tentera Islam dan
semua kisah ini menunjukkan mahkluk halus boleh menyerupai pelbagai rupa tetapi
tidak kepada bentuk asal mereka.
"Saya khuatir makhluk halus
yang dipamerkan hanyalah 'dummy' ataupun muslihat berbentuk sihir oleh
pencipta-penciptanya untuk mempengaruhi dan memperdaya masyarakat."
katanya lagi.
Sebaik-baiknya, bahan-bahan ini
dibuat kajian terlebih dahulu dengan mengabungkan kepakaran ahli agama dan
ahli-ahli saintis supaya dapat membuktikan bahawa ini adalah mahkluk halus
ataupun tidak tanpa mempamerkan terlebih dahulu kepada orang ramai.
"Bukti yang ada hanyalah
bersandarkan dakwaan-dakwaan pihak-pihak tertentu seperti dukun ataupun bomoh
yang dicurigai kesahihannya," katanya lagi.
Seperti contoh katanya, mumia yang
tubuhnya kekal hingga ke hari ini, kajian saintifik mendapati bahawa
paru-parunya dipenuhi air akibat lemas di laut dan bila dirujuk kepada al-Quran
ternyata benar bahawa beliau adalah Firaun yang cuba membunuh Nabi Musa a.s. di
laut merah dan ini menunjukkan bahawa kajian menyeluruh daripada ahli sains dan
ahli-ahli agama dapat membukti kesahihan satu-satu perkara.
Ditanya tentang persoalan akidah
berkaitan kehadiran orang ramai yang ingin mengenali 'hantu-hantu' tersebut,
beliau menyifatkannya sebagai fitrah dan naluri manusia yang ingin tahu dan
malah Islam menggalakkannya kalau ianya bersifat ilmiah.
Namun katanya, objektif penganjur
dipertikai kerana kalau ianya berbentuk ilmiah dan menambahkan pengetahuan
perlulah dijalankan kajian secara menyeluruh dan wujud bukti-bukti yang sahih
sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Malah katanya beliau sangsi
tanggapan bahawa pameran tersebut dapat menambahkan ketaqwaan dan keimanan
mereka kepada Allah setelah mengenal makhluk halus tersebut.
"Sedang suasana persekitaran,
cerita dan babak di pameran tersebut dibuat untuk menyeram dan menakutkan lagi
orang ramai.Sepatutnya pameran sebegitu menambahkan lagi keberanian kita dan
membuktikan kita boleh 'menguasai makhluk tersebut tetapi merujuk kepada laporan
akhbar ia adalah sebaliknya," katanya.
"Seumpama ibu dan ayah
menakut-nakutkan anak-anak mereka supaya tidur, tujuan baik tetapi
kaedahnya sangat negatif," katanya.
(Dipetik dari Harakahdaily: 17
Julai 2006)