Nasihat Tuan Pengerusi Darussyifa’ Malaysia

Ini adalah intipati daripada ucapan Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Pengerusi Darussyifa’ pada majlis Pengijazahan Pelajar Pengubatan Islam Darussyifa’ kumpulan ke-17:

1. Ada dikalangan kita hanya suka mengumpul sijil dan sijil tersebut di gantung di dinding tetapi tidak berkhidmat. Ada pula yang tak pedulikan sijil tersebut tetapi menyumbangkan masa dan tenaga untuk berkhidmat dengan suka rela, inilah yang Darussyifa’ inginkan iaitu berkhidmat bersama-sama dengan Darussyifa’.

2. Ingatlah bahawa tujuan utama kita menyertai kuliah pengubatan dan menerima ilmu dan ijazah daripada Tuan Guru adalah kerana mencari keredhaan Allah dan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

3. Permintaan ke atas rawatan alternatif seperti yang dilakukan oleh Darussyifa’ semakin hari semakin bertambah, kemana sahaja kita pergi mereka mengharapkan bantuan daripada kita. Oleh itu semua pelajar yang telah diijazahkan diharapkan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat bersama-sama Darussyifa’.

4. Pelajar-pelajar yang telah diijazahkan yang tinggal diluar dari kawasan Bangi seperti di Terengganu atau tempat-tempat lain adalah digalakkan supaya membuat kelompok-kelompok kecil pasukan perawat dan membuka klinik Darussyifa’ supaya dapat membantu masyarakat setempat yang memerlukan rawatan alternatif.

5. Selain daripada menubuhkan klinik Darussyifa’, adalah dinasihatkan pelajar-pelajar yang telah diijazahkan yang tinggal berjauhan daripada Bangi, membentuk kumpulan Majlis Zikir yang seperti diamalkan di Bangunan Darussyifa’ bangi pada setiap hari Isnin selepas Maghrib.

6. Kita sebagai perawat biasanya akan dicuba terlebih dahulu, kadang-kadang tersalah bagi ubat. Justeru itu kita hendaklah bersedia dan memantapkan diri supaya dapat memberi rawatan dengan sempurna. Janganlah berlaku pesakit datang dengan satu penyakit tetapi balik dengan dua penyakit.

7. Pesakit memandang tinggi kepada perawat, tiba-tiba ketika sedang merawat telepon Perawat berbunyi lalu dijawabnya telepon itu. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bayangkanlah perasaan pesakit yang sebahagiannya datang dari jauh dan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk tambang atau minyak kereta tiba-tiba perawat tidak memberikan tumpuan ketika merawat.

8. Terdapat pusat-pusat rawatan Darussyifa’ yang telah dibuka di merata tempat dan mungkin ada yang dekat dengan tempat saudara, oleh itu dinasihatkan supaya anda menyertai mereka dan memberikan bantuan kepada klinik-klinik tersebut.

9. Jangan gunakan Sijil Darussyifa’ itu sebagai satu tarikan untuk mendapatkan keuntungan. Jangan dikomersilkan, ingat perinsip Darussyifa’ iaitu jangan menetapkan bayaran, jangan meminta bayaran sebelum dan selepas merawat.

Ulasan Pengunjung

Your email address will not be published. Required fields are marked *